Sukarnya mengekalkan kejujuran dan begitu mudah anda melampiaskan
kemarahan kepada pasangan dan anak-anak? Jom kenali diri, siapa anda
dan mengapa perlu mengubah sikap mulai sekarang!
Kita memang mudah rasa marah, tidak puas hati dan bersangka buruk
terhadap orang lain. Inilah perkara-perkara negatif yang sering
membelenggu hidup. Dalam rumah tangga, kalau suami balik lewat, isteri
mesti marah-marah. Memikirkan yang bukan-bukan. Beranggapan mungkin
suami ada perempuan lain di luar sana. Bagi suami pula, kalau nampak
isteri bersiap cantik-cantik ke pejabat, dalam hatinya mesti terdetik,
lelaki manalah dia nak mengurat kat pejabat tu? Akibatnya, masing-masing
timbul rasa tidak puas hati.
Kalau sudah ada prasangka, pantang ditanya sikit, mesti nak melenting.
Masing-masing mulalah tunjuk ‘belang’. Marah tak pasal-pasal.
Silap-silap anak-anak yang langsung tak ada kena mengena terkena
tempiasnya. Masing-masing hendak menang. Langsung tidak mahu mengalah.
Semua ini kerana percaya diri betul. Bayangkanlah jika hal ini
berlarutan, porak-perandalah rumah tangga. Jadi, sedarlah cepat sebelum
terlambat. Peliharalah rumah tangga yang sudah dibina sebaiknya agar
berbahagia anda di dalamnya dan kata-kata rumah ku syurga ku menjadi
kenyataan.
Selain berprasangka, ada di kalangan kita yang terlalu berpegang kepada
prinsip diri. Misalnya, prinsip tidak mahu mengalah. Inilah yang banyak
berlaku dalam rumah tangga. Suami selalunya susah hendak minta maaf
atau mengalah pada isteri semata-mata berpegang kepada prinsip lelaki
tidak boleh tunduk pada wanita. Keegoan mereka mudah tercabar
terutamanya apabila berhadapan dengan wanita yang bergelar isteri kerana
sepatutnya isteri taat kepada suami. Isteri pula tidak kurang hebatnya
kalau bertengkar. Katanya, dia pun ada prinsip. Yang benar tetap benar
dan yang salah tetap salah. Tidak kira walaupun yang salah itu suami
merangkap ketua keluarga yang sepatutnya dihormati. Ya, tidak salah
menegur, tetapi kenalah pada tempat dan caranya. Jangan sampai ada yang
tersentuh. Disebabkan berpegang kepada prinsip masing-masing inilah,
suami isteri sering tidak sehaluan. Jadi, bersatulah. Kembalilah kepada
fitrah. Sedangkan Allah SWT bersedia mengampunkan hambanya walau seluas
lautan dosanya, ini pula kita yang kerdil ini.
Ramai orang berkata, pengalaman silam menjadi pengajaran. Tapi,
pengalaman ini jugalah yang selalunya menghalang kita untuk merai
kejayaan. Pengalaman buruk seperti pernah dikecewakan oleh suami pada
masa lalu membuatkan kita langsung tidak percaya padanya walaupun
hakikatnya dia sudah berubah. Inilah yang perlu kita sedar. Bebaskan
diri daripada belenggu. Berfikirlah secara positif. Bantulah dia untuk
berubah dan terus meninggalkan tabiat lama.
Berfikiran secara terbuka
Harus juga diingat bahawa dalam membuat apa sahaja keputusan dalam
rumah tangga, anda mestilah berfikiran secara terbuka. Bukan memihak
sebelah pihak sahaja. Jika rumah tangga dilanda krisis, cuba cari jalan
penyelesaian terbaik. Ketahuilah bahawa sebagai manusia, kita telah
dibekalkan dengan hati yang benar-benar suci. Cuma, kesucian hati itu
telah ditutup oleh banyak benda negatif sehingga kita langsung tidak
sedar kewujudannya. Jadi, berusahalah untuk mencari dan menggunakannya
dalam mendapatkan keredaan Allah SWT dalam setiap yang kita kerjakan.
Setiap keputusan yang dibuat juga mestilah memikirkan tentang kesan dan
akibatnya pada masa akan datang dan bukan sekadar untuk tempoh yang
singkat. Diakui, dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian,
masing-masing mengeluarkan pendapat yang pastinya memihak kepada diri
sendiri. Bagi memastikan pendapat itu lahir dari hati yang suci,
jernihkanlah fikiran anda. Belajarlah melihat sesuatu itu dengan lebih
dalam dan bukan dari luarannya sahaja.
Apa pun, sebelum semua yang dinyatakan di atas boleh dilaksanakan
dengan sempurna, anda perlu sedar diri. Kenal siap diri anda. Ramai
tidak sedar betapa kecilnya kita di dunia. Akibatnya, tanpa segan silu
sering membangga diri membanding-bandingkan diri dengan orang lain yang
sebenarnya sama sahaja seperti anda.
Sejak dilahirkan anda telah ditiupkan roh yang sungguh murni. Penuh
dengan sifat-sifat mulia seperti sukakan kedamaian, kecantikan,
ketenangan dan banyak lagi. Lantaran itu, sanggupkah anda menidakkannya?
Walau apa pun ajaran agama anda, tidak pernah diajar melakukan perkara
yang buruk. Jadi, tepuk dada, tanya selera. Jika hati inginkan hanya
yang baik, mengapa anda sanggup bertindak sebaliknya. Begitulah juga
halnya jika anda inginkan yang baik daripada isteri, lakukanlah yang
terbaik untuknya. Kalau anda senang bersamanya, pasti dia senang bersama
anda.
Ketahuilah bahawa ketenangan dalam rumah tangga tidak akan dirasai jika
anda tidak berusaha ke arahnya. Oleh itu, berusahalah. Sekiranya wujud
sebarang masalah, berbincanglah. Suami dan isteri perlu bekerjasama dan
saling berbincang tentang segala hal yang berkaitan dengan urusan rumah
tangga.
Rata-rata, bila ditanya tentang apa yang diinginkan daripada suami atau
isteri, maka ramai tanpa waswas memilih kejujuran pada tangga teratas.
Nyata, kejujuran adalah nilai utama dalam kehidupan. Akan tetapi
kejujuran semata-mata tidak menjamin keharmonian rumah tangga. Perlu ada
6 lagi sifat mulia yang harus digarap dan diadun bersama agar rumah
tangga idaman menjadi kenyataan. Sifat-sifat lain itu ialah bertanggung
jawab, berwawasan, berdisiplin, bekerjasama, adil dan prihatin.
suke tul tgok pic ni...so sweet kn?? |
7 sifat mulia dalam rumah tangga
1. Jujur
Sama ada anda suami atau isteri, jujur terhadap pasangan sangat
penting. Elakkan diri daripada berprasangka buruk terhadap pasangan.
Buang jauh-jauh sifat negatif itu dari diri. Apabila hati sudah bersih,
anda pasti akan lebih sayang dan cinta padanya.
2. Bertanggung jawab
Kedua-dua belah pihak mesti tahu tanggung jawab masing-masing setelah
diijabkabulkan. Sekiranya suami dan isteri menjalankan tugas yang
diamanahkan sebaiknya, pasti tidak akan berlaku pertelingkahan. Dalam
sesebuah institusi keluarga, suamilah yang bertanggung jawabnya
memastikan seluruh ahli keluarga dijaga dan dibimbing sebaiknya mengikut
jalan yang diredai Allah. Bagi isteri dan anak-anak pula, mereka
bertanggungjawab mengikuti segala tunjuk ajar dan perintah suami selagi
tidak bertentangan dengan kehendak agama.
3. Berwawasan
Semua pasangan suami isteri haruslah berbincang untuk menetapkan
matlamat atau arah tuju keluarga. Matlamatnya haruslah sama agar
perjalanan hidup lebih terarah. Dalam pada itu, masing-masing perlu
sedar tujuan asal kita diwujudkan dalam dunia ini dan tahu kepada siapa
kita akan kembali kelak. Barulah hidup lebih diberkati dan diredai.
4. Disiplin
Untuk memastikan matlamat tercapai, suami isteri malah seisi keluarga
haruslah berdisiplin. Melakukan setiap yang disuruh agama dan
meninggalkan apa yang dilarang. Ketahuilah bahawa disiplin teras
kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat.
5. Bekerjasama
Apa yang penting kerja sama. Sesuatu pekerjaan jika dilakukan
bersama-sama, mesti akan jadi lebih mudah. Berat sama dipikul, ringan
sama dijunjung.
6. Adil
Tidak kira suami ataupun isteri, anda mestilah sentiasa bersikap adil
dengan semua orang agar rumah tangga aman dan damai sepanjang masa.
Walau bagaimanapun, anda perlulah memahami tentang konsep adil itu
sendiri melaksanakannya.
7. Prihatin
Rajin-rajinlah mengambil tahu apa yang berlaku di dalam keluarga anda.
Selalu bertanya apa yang telah dilakukan mereka setiap hari. Jika ada
yang tidak kena, perbetulkan segera. Hal ini penting bagi mengelakkan
ahli keluarga anda tersasar jauh dari landasan sepatutnya yang telah
ditetapkan oleh anda.
Kewajipan suami
- Suami ialah ketua keluarga. Oleh itu, suami mestilah menjaga keluarga sebaiknya. Seorang suami mestilah mengawal, membimbing, mencari nafkah, menjaga keselamatan seisi keluarga, dan banyak lagi.
- Selain menyediakan segala kelengkapan material untuk keluarga, suami juga perlu memastikan jiwa setiap ahli keluarga diisi dengan didikan agama secukupnya. Ketahuilah bahawa didikan agama sangat penting. Oleh itu, sekiranya suami tidak mampu mengajar sendiri, maka carilah orang yang berkelayakan untuk mengajar isteri, anak-anak dan diri sendiri.
- Dalam hal mendidik ahli keluarga, suami perlulah menggunakan konsep menjadi contoh terbaik, belas kasihan dan berakhlak mulia.
Kewajipan isteri
- Setiap isteri perlu taat pada suaminya. Segala tindakan tidak boleh membelakangkan suaminya.
- Isteri juga perlu menjaga kehormatan diri dan nama baik suami ketika keluar rumah.
- Isteri mestilah sentiasa kemas dan kelihatan menarik di hadapan suaminya dan mampu membahagiakan suami zahir dan batin.
11 amalan mulia dalam keluarga
- Sentiasa bersabar dan tabah menghadapi segala dugaan yang mendatang.
- Sentiasa memaafkan orang yang melakukan kesilapan.
- Saling tolong-menolong antara satu sama lain.
- Bersikap jujur dengan sesiapa sahaja.
- Saling sayang-menyayangi.
- Boleh bertolak ansur.
- Bertanggungjawab dan amanah.
- Elakkan diri daripada sifat-sifat negatif.
- Sekiranya ada masalah, berbincanglah bersama ahli keluarga.
- Mesti bersikap terbuka dan bersedia menerima kritikan.
- Sentiasa senyum.
No comments:
Post a Comment